Seseorang bayi pramatang hendaklah mencapai tahap-tahap tertentu dimana oragan mereka dapat berfungsi dengan baik sebelum mereka dibenarkan untuk keluar dari NICU. Antaranya ialah:
- Suhu badan yang stabil
- Kestabilan pernafasan (Mampu bernafas tanpa sokongan mesin pernafasan)
- Kawalan pernafasan (Kadar pernafasan dan kadar denyutan jantung yang stabil)
- Mempunyai kemahiran untuk makan dan berat badan meningkat
SUHU BADAN
Bayi pramatang yang baru lahir tidak dapat mengawal suhu tubuh mereka dengan baik. Bayi pramatang tidak mempunyai lemak badan yang mencukupi untuk mengekalkan suhu badan mereka. Inkubator atau pemanas radian adalah alat di NICU yang membantu untuk mengawal suhu badan bayi. Walau bagaimanapun, bayi pramatang akan dapat mengawal suhu badan mereka apabila mereka semakin matang.
Selalunya, bayi pramatang dapat mengawal suhu badan mereka apabila mereka mencapai 40 minggu. Suhu bilik yang optimum untuk bayi adalah sekurang-kurangnya 22 ° C. walau bagaimanapun, suhu bilik juga tidak boleh terlalu tinggi. Suhu yang terlalu tinggi adalah salah satu faktor sindrom kematian bayi mendadak (SIDS) dan harus dielakkan.
KESTABILAN PERNAFASAN
Bayi yang dilahirkan pramatang berkemungkinan mempunyai masalah organ dalaman yang tidak dibentuk dengan sempurna termasuklah paru-paru. Jadi, mereka tidak dapat bernafas dengan baik dan memerlukan sokongan mesin pernafasan iaitu ventilator.
Ventilator digunakan untuk memberikan sokongan pernafasan untuk bayi yang sakit atau tidak matang. Mereka mungkin memerlukan pertolongan dari ventilator untuk menyediakan udara yang bersih (oksigen) ke paru-paru dan mengeluarkan udara yang tidak diperlukan (karbon dioksida).
KAWALAN PERNAFASAN
Apnea prematur adalah suatu keadaan dimana bayi pramatang berhenti bernafas untuk lebih daripada 20 saat atau 10 -20 saat diiringi dengan oleh bradikardia (denyutan jantung lebih perlahan daripada normal) atau kekurangan oksigen.
KEMAHIRAN UNTUK MAKAN DAN BERAT BADAN MENINGKAT
Dalam NICU, bayi akan ditimbang setiap hari. Penurunan berat badan semasa beberapa hari pertama selepas kelahiran adalah perkara biasa bagi bayi kerana penurunan berat adalah disebabkan oleh kehilangan air dalam badan.
Walaubagaimanapun, sepatutnya berat badan bayi pramatang bertambah dalam beberapa hari selepas kelahiran. Pertambahan berat badan yang dikehendaki bergantung kepada saiz bayi dan tempoh kehamilan semasa dilahirkan. Bayi yang sakit memerlukan lebih banyak kalori untuk membesar pada kadar yang dikehendaki. Bayi pramatang tidak akan meninggalkan hospital sehingga mereka berat badan mereka meningkat dengan stabil dan tidak bergantung kepada inkubator.
Bayi pramatang mempunyai kemahiran untuk makan apabila mereka boleh menghisap, menelan dan bernafas semasa menghisap susu tanpa mempunyai masalah pernafasan. Penjagaan pemakanan bayi pramatang selepas keluar Nicu adalah penting untuk memastikan perkembangan, tumbesaran dan status pemakanan bayi adalah optimal.
Susu badan adalah sumber yang terbaik untuk semua bayi, termasuk bayi pramatang. Antara kebaikan susu badan adalah risiko untuk mendapat penyakit adalah rendah, senang untuk dihadam, menggalakkan perkembangan otak dan merapatkan hubungan antara ibu dan anak. Walaupun susu badan memberi banyak manfaat kepada bayi pramatang, tetapi kadar penyusuan susu badan kepada bayi pramatang adalah lebih rendah daripada bayi yang matang.
Selalunya bayi pramatang kekurangan nutrisi selepas keluar dari NICU. Mereka memerlukan makanan yang tinggi kalori dan suplemen untuk membesar kerana susu badan sahaja tidak mencukupi untuk bayi pramatang. Antara suplemen yang diperlukan adalah suplemen untuk Zat Besi dan Vitamin D. suplemen Zat Besi adalah penting untuk memperbaiki paras darah dalam badan serta perkembangan otak. Manakala Vitamin D pula penting dalam proses membentuk tulang bayi yang kuat. kadar pengambilan Vitamin D dalam sehari adalah antara 400 IU/hari – 1000 IU/hari
SEMASA BERADA DI RUMAH
Semasa berada di rumah, pastikan anda menjaga kesihatan anda dan juga bayi anda kerana sistem imuniti anak anda masih lemah dan bayi anda mudah untuk mendapat jangkitan. jadi anda mestilah mengambil langkah berjaga-jaga.
Hadkan perjumpaan dengan doktor. beberapa minggu selepas keluar NICU, anda hendaklah hadkan berjumpa dengan doktor kerana kebiasaannya ramai kanak-kanak yang sakit ingin berjumpa dengan doktor juga terutama sekali di klinik kesihatan dan hospital awam. Anda boleh membuat temu janji dengan doktor pada awal pagi atau menunggu di ruangan khas, bukan di ruangan tunggu utama bersama dengan pesakit lain.
Elakkan pergi ke tempat umum dan menerima pelawat. pastikan anda tidak melawat tempat awam bersama bayi anda dan hadkan pelawat yang datang kerumah anda terutama sekali pelawat yang sedang sakit. anda juga mestilah memastikan tiada sesiapa merokok di kawasan rumah anda. Pastikan semua orang yang ingin memegang bayi anda membasuh tangan terlebih dahulu sebelum memegang bayi anda.
Pastikan bayi anda tidur dalam keadaan menelentang. Pemakanan dan tidur bayi adalah penting, bayi pramatang mungkin tidur lebih lama dari bayi yang lahir matang tetapi untuk permulaan, pastikan bayi anda tidur dalam keadaan menelentang untuk mengurangkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS)
