Apakah makanan yang diperlukan untuk bayi saya?
Terdapat 3 jenis susu yang boleh diberikan kepada bayi anda iaitu
- Susu Badan
- Susu Formula Biasa
- Susu Formula Bayi Pramatang
Susu badan adalah makanan terbaik untuk semua bayi, terutamanya untuk bayi pramatang. Protein di dalam susu badan dapat membantu bayi untuk melawan jangkitan dan sindrom kematian bayi secara mendadak (SIDS).
Selain itu, ia juga mengurangkan risiko untuk anak anda mendapat penyakit necrotising enterocolitis. Necrotising enterocolitis adalah sejenis penyakit dimana sel-sel di bahagian usus bayi mati dan tidak dapat berfungsi.
Bayi yang menyusu badan kurang mendapat jangkitan seperti cirit-birit, jangkitan paru-paru, jangkitan telinga, dan jangkitan saluran kencing.
Apa yang patut saya lakukan jika saya tidak dapat memberikan susu badan kepada bayi saya?
Bagi wanita yang tidak dapat memberi susu badan, doktor mungkin mencadangkan untuk memberi susu penderma dari bank susu dimana ia merupakan pilihan yang selamat. Selain itu, bayi anda akan mendapat susu formula untuk bayi pramatang yang ada di hospital.
Apa itu ‘Enteral Nutrition’ (EN)?
Enteral nutrition adalah salah satu kaedah untuk memberi nutrisi kepada bayi dengan memasukkan tiub halus di mulut atau hidung bayi dan berakhir di perut bayi anda. Susu akan diberikan melalui tiub tersebut. Jadi, nutrien boleh masuk terus ke dalam perut bayi anda.
Kebanyakan bayi pramatang tidak dapat menghisap susu badan atau susu formula dari botol kerana mereka tiada tenaga untuk melakukannya. Jadi, anda perlu memerah susu badan anda dan memberikannya kepada bayi melalui tiub makanan.
Tiub makanan akan mula digunakan seawal yang mungkin bagi memastikan tumbesaran bayi pramatang tidak terganggu. Susu badan atau kolostrum (susu pertama yang keluar selepas kelahiran) adalah pilihan utama untuk diberikan kepada bayi pramatang melalui tiub makanan ini. EN dapat membantu meningkatkan sistem penghadaman bayi seterusnya bayi dapat toleransi untuk makan.
Apa itu ‘Total Parenteral Nutrition’ (TPN)?
Total Parenteral Nutrition (TPN) adalah salah satu cara untuk memberi nutrisi kepada pesakit. Ia memberi nutiri terus ke dalam aliran darah dimana ia mempunyai campuran khas nutrien seperti protein, karbohidrat, lemak, vitamin, dan mineral.
TPN selalunya diberikan kepada bayi yang sangat pramatang atau sangat sakit kerana sistem pencernaan masih belum matang dan akan menyebabkan mereka menggunakan lebih banyak tenaga untuk mendapat nutrisi. Oleh itu, TPN dapat membantu mereka untuk mendapatkan nutrisi tanpa menggunakan tenaga secara berlebihan serta mereka dapat menyerap nutrien yang diperlukan untuk membesar.
Apabila bayi anda mula membesar dan menjadi lebih bertenaga, tiub makanan akan diperkenalkan.. Apabila makanan tiub telah berjaya digunakan, TPN akan dihentikan. Doktor dan dietitian akan mengawasi pemakanan bayi pramatang dengan teliti dan berhati-hati dan membuat perubahan apabila diperlukan untuk memastikan bayi mendapat nutrien yang diperlukan untuk membesar.